Sabtu, 1 Oktober 2011

Sabarlah..Allah Sedang Mengujimu


Langit tinggi yang tadinya cerah bertukar gelap. Sekelip mata sahaja. Sekumpulan awan tebal kelihatan berarak di atas bumbung-bumbung biru universiti. Mentari yang hampir berlabuh di ufuk barat sudah tidak kelihatan. Habis sinarnya dihalang awan hitam. Sejurus kemudian, ruang angkasa institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai Taman Budi dan Ilmu itu bertambah gelap.
Ketika petang sudah hampir tiba di penghujungnya, kelihatan ada beberapa orang muslim dan muslimah sedang duduk-duduk di ruang solat. Ada juga yang sedang membaca al-Quran.
Masjid yang terletak di tengah-tengah institut ilmu itu memang bertuah. Sentiasa 'imarah. Tidak pernah tidak ada jemaah. Rumah ibadah yang menjadi pusat pertemuan warga institut itu seringkali dikunjungi orang sekalipun penuntut-penuntutnya pulang ke tanah air masing-masing.
Perkongsian dalam pertemuan.
"Liz, ada musykilah?"
Liz mengangguk. Pelajar perempuan yang baru setahun jagung menjadi warga universiti itu tidak pernah segan mengaku ada masalah. Dia sangat terbuka. Tidak pernah berselindung.
"Masalah apa?" Saya bertanya dengan nada bersahaja. Mengajak dia untuk berkongsi.
"Kak, saya sedih. Saya sedih sebab setiap kali bersolat malam atau muhasabah, saya rasa susah nak menangis." Pelajar perempuan itu mula menyatakan masalah jiwanya.
"Kadang-kadang tu, saya sampai dah tak tahu nak buat apa lagi supaya menangis." Pelajar itu menyambung. Suaranya terketar-ketar.
"Ingatlah mati." Saya mencelah perlahan.

"Sudah. Tapi, tetap tak mampu menangis. Pernah saya minta daripada Allah ..." Bicaranya terhenti. Matanya mula berkaca-kaca. Dia diam. Menahan air mata daripada mengalir.
"Pernah saya berdoa, Ya Allah, kalau Engkau memang sudah tidak mengizinkan aku menjadi hamba yang baik, Engkau matikan sahaja aku."
'Astaghfirullah!' Spontan saya beristighfar di dalam hati. Pelajar ini kelihatan seperti sudah tidak tahan memiliki hati yang sudah tidak mampu mengalirkan air mata keinsafan. Semoga Allah masih memegang hatinya.
"Apa gunanya hidup kalau diri tak menjadi hamba yang baik untuk Allah," Pelajar itu menyambung dengan nada yang terputus-putus. Sejurus kemudian, mulutnya terpaku. Tiada lagi bunyi yang keluar dari peti suaranya. Lama dia membisu. Air mata mudanya kelihatan tumpah ke pipi.
Saya merenung ke permaidani merah yang menutupi lantai marmar masjid. Bermuhasabah sambil menyusun kata. Saya terus merenung, sedang adik perempuan tadi setia menunggu ungkapan saya.
Mohon diberi petanda arah menuju ke jalan keluar. Seketika kemudian, saya melihat wajahnya yang sayu. Matanya merah. Pipinya basah. Uraian air mata yang berterjunan di pipi diseka. Dia tunduk. Malu. Malu dengan diri sendiri.
"Liz, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Beruntunglah Liz kerana masih mampu menangis di sini, sekalipun tidak mampu menangis selepas solat." Sengaja saya berkata sedemikian. Mahu menyedarkan dia bahawa dirinya masih mempunyai hati. Hati yang masih mampu menangis apabila disentuh.
"Duduk dan bermuhasabahlah lagi. Mungkin jiwa kita belum cukup ikhlas untuk memohon keampunan. Mungkin hati kita tidak benar-benar ikhlas memohon taubat. Siapa tahu, dalam kita bersabar meminta ampun dan taubat, Allah mengizinkan hati kita untuk menangis." Saya memberi pandangan.
"Liz, Allah tidak mematikan Liz sekarang kerana Allah masih sayangkan Liz. Liz masih ada ruang. Liz masih ada peluang. Berdoa meminta agar dimatikan segera itu salah. Salah besar!" tegas saya.
Air matanya yang deras mengalir sebentar tadi berhenti. Terjaga dari lena sangkaan yang salah.
"Allah meminta kita berusaha, bukannya mengalah. Jangan meminta diri dimatikan hanya kerana tidak mampu menangis apabila mengenang dosa. Jangan meminta dimatikan sedangkan diri tidak dalam keimanan."
"Rugi besarlah kita andainya di akhirat kelak, antara kita dengan syurga jaraknya tinggal sehasta, tapi takdir telah mendahului dan kita dicampakkan ke neraka. Kenapa?" Saya meninggalkan persoalan di hujung peringatan yang panjang-lebar. Semua mata yang hadir dalam pertemuan petang itu tertumpu ke arah saya.
"Sebab, kita tidak mengakhiri kehidupan dengan kebaikan. Sia-sia sahaja kita beramal sepanjang hidup, tapi di akhir kehidupan kita tidak berada dalam keimanan. Na'uzu billahi."
Pelajar perempuan itu mengangguk-angguk. Dia kelihatan yakin untuk meneruskan kehidupan. Kini, dia sedar bahawa sangkaannya agar lebih baik mati adalah salah.
'Ya Allah, ampunkanlah dosa adik ini. Ampunkanlah dosa semua manusia yang berada dalam pertemuan ini.' Saya berdoa di dalam hati, sendirian.
Allah, sungguh aku berpandangan bahawa mereka lebih baik daripadaku!' Semoga Allah menghimpunkan kami dalam rahmat dan berkat. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.
Pesanan Kekasih Agung :
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan: "Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan empat kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga." (HR al-Bukhari; 3036 dan Muslim; 2643)
Saya menulis babak muhasabah ini di sini dengan harapan yang sederhana. Sangat sederhana. Semoga kita lebih mengingati-Nya setelah banyak dosa yang kita lakukan.
Saya menulis babak muhasabah ini di sini bukan kerana sudah mampu mengingati-Nya dengan sempurna, tetapi kerana berharap agar catatan sederhana ini terhitung sebagai langkah untuk saya mendekati-Nya. Sungguh, saya sangat terkesan dengan luahannya.

Glosari

1) 'Imarah=Meriah/Makmur/Gemilang. 2)Musykilah= Istilah Arab iaitu masalah

credit to iluvislam.com [link]

Ahad, 8 Mei 2011

Mudahnya Menjadi Isteri Solehah



Assalamualaikum adik2 yg akak sayang..
Semoga semua ceria dan tabah mengharungi cabaran hidup.

Artikel kali ini, akak tujukan khusus buat adik2 lelaki akak di sini..
Adik2 lelaki yg masih bujang yg sedang tercari2 calon isteri,
jua yg telah bergelar suami tetapi masih tercari2 cara untuk menbentuk isteri sedia ada agar menjadi isteri solehah idaman hati.. (Tp pompuan pun leh baca jugak tau)..

Ada ungkapan yang mengatakan bahawa sukarnya mencari wanita solehah sama seperti mencari gagak putih.(Nak cari lelaki soleh pun susah juga). Ungkapan ini ada kebenarannya, terutama kita yang hidup di akhir zaman ini. Namun begitu, walau apapun cabarannya, wanita solehah tetap menjadi idaman semua lelaki, khususnya lelaki beriman. Malah, lelaki yang jahat sekalipun, jika ditanya, pasti inginkan wanita solehah sebagai pasangan hidupnya. Apa nak dihairankan, bukankah si pengotor juga sukakan kebersihan?

Sebelum akak kupas topik ini lebih lanjut..ada baiknya kita hayati kisah berikut.

CERITANYA BEGINI…

“Emmm..Sukar betul nak cari isteri yang solehah,” luah seorang pemuda ketika menghadiri satu seminar anjuran sebuah badan NGO.

“Macam nak cari gagak putih,” tambahnya.
“Agaknya memang dah jadi hukum dunia , yang berharga itu susah mendapatkannya,” katanya lagi sambil merenung saya(ni yg lemah ni),
mungkin dia memancing respon saya. Saya cuma tersenyum.
Akhirnya saya bertanya dgn selamba, “Dah kawin?”
“Belum lagi..Kenapa?” Dia membalas sambil tersenyum. (Aduh…Hensem gak mamat nih)..
“Belum jumpa yg solehah ke?” Saya terus mengusiknya.
“Kira-kira saya dah lewat 3 tahun ni,” katanya sambil menjeling mesra pada saya dan mengulangi dengan lebih tegas, “Lewat 3 tahun!”
Saya kehairanan.
“Saya dah 28 tahun. Umur ideal untuk kahwin kan 25? Saya dah terlayak 3 tahun.”
“Oh gitu.. biar terlajak usia, asal jangan tersalah pilih!” usik saya lagi.
Seronok berbual dengan pemuda ceria sepertinya.

“Nak cari yg betul-betul solehah bukan senang.”
“Kalau tak jumpa, macam mana?”
“Tulah yang saya pening ni. Adakah syarat-syarat saya ni terlalu sukar dipenuhi?”
“Apa syaratnya?”
“Syarat-syarat wanita solehah.. mesti solat, taat ibu bapa, berakhlak, tutup aurat, pandai mengaji, puasa sunat…”
“Macam tu tak susahlah.. Ramai yang ada syarat-syarat macam tu,” balas saya.
“Tu yg lahiriah. Yang paling penting bertakwa,” katanya lagi.
“Macam mana pula nak ukur takwa tu?” Tanya saya.
“Tu yg pening. Takwa tu dlm hati. Ni soal hati. Tapi apa boleh buat, Saya nakkan juga isteri yang solehah, isteri yg bertakwa!”

“Nak tak kalau saya kongsi tips yg mudah bagaimana nak dapat isteri solehah?” pelawa saya.
“Adakah cara mudah? Tak percaya pula saya.”
“Tak payah susah-susah nak ukur, telek, nilai dan kaji orang lain..”
(diam jap sambil tengok muka blur dia)
“Tak payah nak teropong takwa dan iman di dada orang lain..” tambah saya.
Dia semakin hairan.
“Saya tak faham. Macam mana kita boleh memilih calon isteri tanpa menilai syarat-syaratnya. Itu kan panduan daripada hadis?”
“Itu satu cara. Tapi ada cara lain yg juga menggunakan prinsip yg sama.”

“Apa caranya tu?”
“Untuk dapat isteri solehah, jadikan diri sendiri dulu calon suami yg soleh!” tegas saya.
Dia terdiam sejenak. Sebelum sempat dia bersuara, saya susuli dgn penjelasan:
“Cuba cari ciri2 suami yg soleh..Bina semua ciri tu dalam diri. Bina sahsiah lahiriah seorang lelaki soleh. Kemudian muhasabah pula soal hati.. ukur iman dan takwa diri kita”
“Nak ukur iman dan takwa kita sendiri? .. susah tu. Itu soal maknawi!”
“Tapi itu jauh lebih mudah daripada nak ukur iman dan takwa org lain..”
Dia mengangguk.

“Alhamdulillah, tersingkap 1 dimensi lain dlm usaha saya mencari isteri yg solehah. Tp apa jaminan cara ini lebih cepat?”
“Saya tak maksudkan lebih cepat, tetapi mungkin lebih tepat. Sebab cara ini ada kelebihannya. .”

“Apa kelebihannya?”
“Sebab semuanya terletak pada diri sendiri. Lebih cepat awak membina ciri2 lelaki soleh, lebih cepatlah awak meningkatkan iman dan takwa dalam diri.. Maka lebih cerahlah peluang untuk mdapat isteri solehah. Semuanya atas usaha terhadap diri sendiri dulu.”
“Jaminan 100%?”
“Mana ada jaminan macam tu dari manusia biasa? Yakin janji Tuhan..InsyaAllah. Kan jodoh pertemuan di tangan Allah.” “Bukankah Allah dah beri jaminan lelaki mukmin untuk perempuan yg mukminah? Lelaki soleh akan bertemu jodoh dengan wanita solehah? InsyaAllah”

“Habis sekarang ni saya terpaksalah hentikan pencarian wanita solehah demi berusaha menjadi lelaki soleh, gitu?”
“Tak gitu. Cuma lebihkanlah usaha mjadi lelaki soleh. Sambil itu, teruskan juga pcarian menjejaki isteri yg solehah..”
“Baik juga cara ini. Serampang dua mata,” katanya.

“Satu lagi.. pesan saya, berpada-padalah dgn piawaian solehah awak tu. Jgn terlalu tinggi, nnti tak tcapai. Cukuplah dgn tahap sederhana.”
“Maksudnya?”
“jgn tlalu ideal memilih calon isteri kerana sifat2 solehah itu sesuatu yg bersifat on going process. Maksudnya dibina secara berterusan. Mungkin sbelum kahwin tahapnya sederhana, tetapi dengan pimpinan suaminya nanti, tahap solehahnya boleh dpertingkatkan lagi.”
“Boleh blebih kurang lah ye?”
“Bkn begitu maksudnya. Panduan dan ajaran Islam ini mudah tetapi itu bukan alasan untuk dpermudah-mudahkan.”

“Apa kaitannya dgn apa yg kita bincangkan ni?”
“Begini, awak mesti ketat dalam menilai diri sendiri. Jangan ambil mudah soal iman dan takwa diri. Letakkan piawaian yg tinggi buat diri sendiri. Bukankah lelaki yg nantinya akan jd pemimpin isteri dlm rumahtangga? Sebaliknya, permudah dan rendahkan sedikit penilaian terhadap calon isteri, dengan perkiraan nanti dia boleh dbentuk lg setelah menjadi isteri..”
“Oh, saya faham..”

“Baguslah kalau begitu. Sayangnya, kebanyakan lelaki menilai sebaliknya.. Untuk diri sendiri dinilai dgn piawaian soleh yg rendah, tetapi utk calon isterinya dnilai dgn piawaian yg tinggi mlangit… Itu silap..”

“Alhamdulillah. . Saya harap jodoh saya akan tiba jua nanti.”
“Amin.. Tamatkanlah penantian solehah itu dgn mpercepatkan pbinaan soleh diri!”

Membina Dan Memelihara Cinta

“Bagaimana andai selepas bertunang setelah sekian lama, dia tidak suka lagi pada kita? Suka pada orang lain”, soal Kak Raiha tiba-tiba.
“Jangankan semasa bertunang kak. Orang berkahwin pun boleh pudar cintanya”.

“Betul juga”.

Persoalan tergantung. Tidak berjawab.

Masing-masing diam. Mata memandang ke tingkap merenung titisan hujan yang lebat.


Aksesori Cinta
“Sememangnya rasa suka yang memutikkan cinta itu perlu. Namun, cinta sahaja tidak menjamin”, Kak Raiha memecahkan kesunyian.

“Maksud akak?”.

“Cinta perlukan aksesori sampingan. Rasa cinta perlu hadir dengan rasa tanggungjawab”.

“Aksesori lain ialah kepercayaan”, tambah Kak Raiha lagi.

Saya semakin mengerti apa yang Kak Raiha cuba sampaikan.

“Rasa tanggungjawab dan kepercayaan ini tidak akan wujud andai tidak rasa diri berTuhan. Cinta jadi tidak berperaturan. Cinta yang jauh dari berpaksikan Tuhan”, saya cuba membuat kesimpulan.

“Benar. Andai cinta berpaksikan Tuhan, barulah lahir cinta sejati yang menyembuhkan, bukan menyakitkan. Bukan cinta buta buatan manusia”.

Cinta Tanpa Tanggunjawab

“Remaja kini terdedah dengan cinta, namun cetek ilmu menguruskannya. Tanpa ilmu, sukar melahirkan rasa tanggungjawab”, Kak Raiha cuba menghuraikan aksesori pertama.

“Tanpa rasa tanggungjawab, si teruna tidak bersifat melindungi kaum wanita. Kaum wanita pula sewenang-wenangnya menyerahkan jiwa dan raga”.

Saya diam mendengarkannya. Realiti yang harus diterima. Realiti bahawa ramai remaja yang terlibat dengan cinta di awal usia, terjebak dengan maksiat dan zina. Realiti yang bimbang lagi meresahkan.

Dengan rasa tanggungjawab yang tinggi, si lelaki akan menghormati wanita dengan tidak merosakkannya. Kesuciannya dipelihara sehinggalah dihalalkan melalui lafaz janji `aku terima nikahnya`. Rasa tanggungjawab yang tinggi juga membentengi diri seorang wanita untuk memelihara kehormatan diri dan rahimnya. Wanita bertanggungjawab untuk mempertahankan dirinya untuk suami yang halal buatnya. Memelihara kesucian rahimnya untuk zuriat yang bakal dilahirkannya.

“Cinta yang Allah gariskan bukanlah untuk menyekat. Cinta berperaturan untuk meningkatkan darjat. Cinta ekslusif!”, pesanan berharga buat remaja mabuk bercinta.

“Cinta tanpa tanggungjawab juga boleh menyebabkan rumah tangga porak peranda”, Kak Raiha mengubah konteks, daripada isu remaja kepada keluarga.

“Dengan mudah, si ayah mahupun ibu boleh `mencintai` orang lain. Bayangkan, andai ibu ataupun bapa sibuk menunaikan tanggungjawab yang tidak pernah selesai terhadap pasangan dan anak-anaknya, soal `terjatuh cinta` dengan orang ketiga pasti dapat dielakkan. Memanglah cabarannya sentiasa ada. Namun, boleh dielakkan!” Kak Raiha sedikit emosi. Tidak adil, tetapi ingin bercinta lagi.

“Setuju kak. Sekalipun suami dan isteri saling mencintai. Tanpa tanggungjawab, selama manakah cinta dapat bertahan agaknya. Cinta dan sayang terhadap anak-anak juga perlu dinilai dengan tanggungjawab”.

“Benar. Anak-anak juga harus punya cinta yang penuh tanggungjawab terhadap ibu bapa”. Peranan anak-anak pula disentuh.

“Bagaimana pula tu?”.

“Anak-anak zaman kini kadangkala sibuk bekerja. Tiada masa untuk bersama ibu bapa”.

“Sekalipun ibu dan bapa pernah melakukan kesilapan ataupun mempunyai kekurangan dalam mendidik kita, jangan menyimpan dendam. Biarlah kekurangan itu dinilai Allah. Lihat perkara positif pada ibu bapa kita. Selain kuasa Allah, jika bukan jasa mereka, masakan kita hidup sehingga kini. Dibesarkan dan dijaga”.

“Andai semua pihak melihat cinta disertai tanggungjawab, insyaAllah tidak timbul masalah. Masing-masing akan fokus pada memberi. Bukan menuntut hak”, saya cuba membuat kesimpulan mengakhiri perbualan.

“Benar, cinta pada Allah juga menuntut kita untuk menzahirkannya. Laksanakan tanggungjawab sebagai hambaNya yang bertaqwa”.

Dicintai Dan Dipercayai
Selain cinta dengan rasa tanggungjawab, cinta juga perlu lengkap dengan mempercayai.

Boleh anda bayangkan hidup tanpa wujud rasa percaya pada orang lain. Tidak percaya orang lain boleh melaksanakan tanggungjawabnya. Tidak percaya orang lain boleh menyimpan rahsia. Bermacam-macam lagi. Tanpa rasa percaya, sukar untuk hidup bahagia. Asyik resah tidak menentu hala.

Justeru, mempercayai itu amat penting dalam memelihara hubungan. Mempercayai seseorang bukan sahaja membuatkan diri kita tenang, bahkan membuatkan diri orang yang dipercayai itu lebih yakin.

Soalnya ialah bagaimana untuk membuatkan diri ini dipercayai sekaligus membina kepercayaan. Kemudian, bagaimana untuk memelihara kepercayaan itu sepanjang perhubungan?

Saya kira, membina kepercayaan mengambil masa. Memulihkan kepercayaan lebih banyak mengambil masa!

Sebelum menjalin hubungan, kepercayaan boleh mula dipupuk. Syaratnya ialah dengan tidak bermuka-muka ataupun berlakon. Lihatlah pada akhlak dan ibadahnya. Andai si dia menjaga hubungannya dengan Allah dan manusia, insyaAllah, apabila bersama kelak, kepercayaan itu sudah terbina.

Bayangkan seorang lelaki yang matanya liar memandang wanita lain. Apakah kita percaya selepas berkahwin kelak, dia akan menundukkan pandangnya?

Bayangkan seorang wanita yang tidak segan silu bertepuk tampar dengan lelaki yang haram buatnya. Apakah selepas bernikah kelak, dia akan menjadi wanita pemalu yang memelihara kelakuannya?

Bayangkan seorang teman yang suka mengumpat orang di sana-sini. Apakah kita yakin, kita tidak akan diumpatnya selepas menceritakan masalah kepadanya?

Ya, benar, manusia boleh berubah dengan izin Allah. Namun, kepercayaan sudah tercalar. Sukar!

Binalah kepercayaan sebelum menjalin hubungan. Kemudian peliharalah kepercayaan itu. Sekali tercalar, mengambil masa untuk memulihkannya.

Cinta Perlu Disuburkan
Cinta perlu ada rasa tanggungjawab dan mempercayai. Semacam kering sahaja bunyinya. Serius dan tidak berwarna-warni. Disebabkan itulah, cinta sesama manusia ini perlu disuburkan dengan kata-kata dan sentuhan. Sentuhan fizikal mahupun jiwa.

Memuji sahabat tentang kelebihan dan sifat positif dirinya.

Membelai anak yang sudah remaja dengan kasih dan mesra.

Menghadiahkan bunga buat isteri tercinta.

Menggantikan bebelan dengan kata-kata semangat buat suami tatkala perkahwinan bertambah usia.

Mengusap wajah ibu dan ayah yang sudah tua dan tidak berdaya.

Bermacam-macam perkara yang boleh dilakukan untuk menyuburkan hubungan sesama manusia melalui sentuhan dan kata-kata. Kadangkala, kita yang tidak amalkannya. Lama-kelamaan, bertukar menjadi kekok. Kemudian, dilabel buang tabiat. Parah!

Mari kita hayati kembali sirah. Kisah cinta manusia paling agung. Cinta Rasulullah terhadap isterinya. Cinta bukan dalam bentuk `segera`. Cinta Rasulullah disertai usaha yang dibajai sentuhan dan kata-kata. Dengan izin Allah, mencairkan hati, menyentuh jiwa.

Tatkala isteri tidur nyenyak kepenatan, Rasulullah memilih untuk tidur diluar, kerana kasihan.

Rasulullah juga tidak kekok meringankan beban isteri dalam menguruskan rumah tangga.

Pernah satu ketika, hidung Saidatina Aisyah dipicit. “Sabar dahulu ya Humaira”, kata nabi seraya memicit hidung Aisyah. Sentuhan mesra untuk menyabarkan dan meredakan.

Rasulullah dan isterinya saling menasihati, bersama-sama memperbaiki diri.

Biji benih gred A, andai tidak dibaja dan dijaga, masakan dapat menghasilkan buah yang sedap. Samalah halnya dengan cinta, andai tidak dibaja, masakan dapat terus kekal bahagia.

Cinta itu perlu, namun cinta semata-mata tidak membawa ke mana. Permulaan yang baik itu tidak menjamin kesudahan yang baik, tanpa baja dan dijaga.

Semoga kita sama-sama dapat amalkan tatkala diri menjalin cinta sesama makhluk menuju cinta kepadaNya.

*Semoga perjuangan ku dalam berdakwah di alam maya inii tidak terhenti di sini saja..
*InsyaAllah.semoga allah terus melapangkan rezeki dan masa utk terus berkunjung ke blog ini..Amin…

Sabtu, 23 April 2011

Pelindung Vs Perosak


Lelaki yang bijak sentiasa berusaha menjadi pelindung kepada wanita.
Lelaki yang bijak takkan meminta dan mengharapkan sesuatu yang belum menjadi haknya.
Lelaki yang bijak sentiasa menjaga pandangan mata dan hatinya.
Lelaki yang bijak menyedari bahawa seorang perempuan itu hanya mahu dirinya dihormati.
Lelaki yang bijak hanya mahukan wanita yang terbaik untuk menjadi suri hidupnya.
Bagaimana seorang lelaki dapat menjadi pelindung terbaik bagi wanita? Adakah dengan menghubungi wanita itu selalu, bertanyakan khabar, mengajaknya pergi makan supaya dia tahu si gadis makan mengikut masa, atau dengan mengucapkan kata-kata sayang?
Saya hendak berkongsi sebuah kisah benar berkenaan seorang sahabat yang sering risau akan keadaan dirinya yang masih single and available. Risau bila dikatakan tidak mengikut trend. Risau bila huluran ikhlasnya tidak disambut oleh gadis yang dipuja. Sering merasakan dirinya LOSER kerana kononnya tak ada perempuan nak mahu padanya, sikit-sikit kena reject saja. Geli hatiku. Sampai begitu sekali fikirannya parah.
Persoalannya, adakah dengan SMS selalu, rajin bertanya khabar, dan rajin segala dapat menjamin dia menjadi pelindung atau hero paling hebat kepada wanita tersebut? Sekali kita mulakan langkah. pasti akan membawa kepada langkah seterusnya. One thing leads to anotherSilap-silap lebih menjadi perosak daripada pelindung.
"Merosakkan?"
Yalah. Merosakkan dengan menambah saham dosa yang ditanggung oleh perempuan. Pelindungkah?
Merosakkan dengan setiap tindakannya yang akhirnya membuatkan perempuan tersebut gila bayang padanya hingga melupakan yang mana langit dan yang mana bumi.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan perempuan itu merasakan setiap perbuatan yang dilakukan untuk 'mengeratkan hubungan' itu supaya terasa 'enak dan indah' walaupun hakikatnya masing-masing menyedari diri terjerumus dalam kancah dosa.
Pelindungkah?
Merosakkan dengan membuatkan diri anda dan diri orang yang 'disayangi', buah hati pengarang jantung berenang-renang dalam lautan dosa tatkala anda sedar tidak mampu memberikan sesuatu yang halal kepadanya.
Pelindungkah?
Merosakkan akhirnya hanya kerana pada awalnya telah MEMULAKAN.
Pelindungkah?
Jadilah pelindung kepada kaum Hawa dengan tidak memandang kami.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menambahkan ilmu dengan amalmu,
supaya nanti pabila tiba masanya, dapat kalian menjadi pemimpin keluarga yang dihormati.
Jadilah pelindung kepada kami dengan menjaga sebaik-baiknya akhlakmu.
Jadilah pelindung yang terbaik dengan mencontohi Rasulmu!
Mahu menjadi pelindung? Mintalah pertolongan kepada Allah semoga Dia sentiasa melindungi. Kita hanya manusia biasa yang tidak berdaya. Di saat anda masih belum mampu, cukuplah dengan meminta Dia yang melindungi dan memerhati. Kita manusia dengan pelbagai keterbatasan, takkan mampu untuk menjadi superhero paling sempurna kerana tiada yang sempurna melainkan-Nya. Jadilah lelaki pintar yang sentiasa bijak menilai.
Lelaki yang pintar sentiasa risau dirinya akan membawa fitnah kepada wanita,
Lelaki yang pintar tidak akan sekali-kali gentar apabila seorang wanita bertindak tegas terhadapnya kerana dia sedar itulah wanita sejati!
Yang mempunyai harga diri, yang takut kepada Ilahi.
Lelaki yang pintar takkan risau dan gusar dengan status 'single' kerana dia tahu dengan izin-Nya kelak dia akan berjabat dengan seorang wali yang bakal memberikan titik noktah kepada status tersebut!
Wahai ar-rijal, bangkitlah kalian. Anda dikurniakan kelebihan berbanding kami, gunakanlah kelebihan tersebut. Janganlah ambil sifat kami. Kami insan lemah, anda yang harus kuat!
Jangan mengharapkan sesuatu yang kami tidak mampu beri.
Jadilah kalian pelindung yang sejati,
agar kita senantiasa berada dalam reda Ilahi,
sampai tiba saatnya nanti...
Soallah diri kita, kenapa kita masih belum mampu melaksanakan suruhan-Nya sedangkan kita tahu apa yang benar?
Soallah diri kita, apa guna kita mengharap syurga seandainya perintah yang disuruh-Nya tidak mahu dilakukan malah dipandang sipi dan diabaikan?
Soallah diri kita, jika setiap muslim sudah dijanjikan syurga, yakinkah kita akan meninggalkan dunia ini dengan husnul khatimah? Yakinkah kita akan meninggalkan dunia sebagai muslim? Yakinkah kita syurga milik kita? Yakinkah?
Soallah diri kita, andaipun syurga dijanjikan kepada kita, sanggupkah kita mengharungi neraka sebelum menjejak ke syurga lantaran "hutang" kita terhadap Sang Pencipta yang belum langsai? Sanggupkah?
Daripada Abu Hurairah r.a beliau berkata Rasulullah SAW telah bersabda, maksudnya:"Sesungguhnya Allah Ta'ala baik, Dia tidak menerima kecuali perkara yang baik. Dan sesungguhnya Allah telah memerintahkan orang-orang mukmin dengan apa yang telah diperintahkan kepada para Rasul di mana Allah Ta'ala berfirman: (Wahai para Rasul!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik dan hendaklah kamu beramal soleh. Dan Allah Ta'ala berfirman: (Wahai orang-orang yang beriman!) Makan minumlah kamu makanan yang baik-baik yang Kami rezekikan kepada kamu. Kemudian Baginda menyebut perihal seorang lelaki yang bermusafir jauh, yang berambut kusut masai dan berdebu, yang menadah tangan ke langit (iaitu berdoa): Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Bagaimanakah doanya akan dimakbulkan sedangkan makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram?" (Hadis riwayat lmam Muslim)
Bagaimana mungkin doa kita untuk ke syurga dimakbulkan andainya Allah memalingkan pandangan-Nya daripada kita lantaran 'haram' yang kita 'halal'kan? Kita yang muda kena sentiasa beringat bahawa kita merupakan harapan agama. Banyak lagi cabaran yang harus dihadapi dalam hidup ini, banyak lagi tanggungjawab yang menanti. Tolaklah ketepi perkara-perkara remeh yang tidak membawa manfaat kepada diri dan 'kawan' melainkan KEROSAKAN sahaja.
Lelaki yang baik takkan berusaha mendekati,
meskipun dengan niat yang suci,
kerana dia sentiasa menyedari,
niat mungkin terpesong sekalipun begitu murni,
kerana dia mengakui,
makhluk bertanduk dua sentiasa "ready"!
Ingatlah, Dia jua yang Maha Memerhati.
Fikirkan dengan akal, renungkan dengan hati. Tolak tepi nafsu di hati yang mengaburi hati kita daripada menilai yang baik dan buruk, kerana hati tidak pernah menipu.
Wabishah bin Ma'bad berkata: Aku mendatangi Rasulullah, dan baginda bertanya "Engkau datang untuk bertanya tentang kebajikan?"
Aku menjawab, "Ya, benar."
Baginda bersabda, "Tanyakan pada hatimu sendiri! Kebaikan adalah sesuatu yang membuat jiwamu tenang dan hatimu tenteram, sedangkan dosa adalah sesuatu yang menimbulkan keraguan dalam jiwa dan rasa gundah dalam dada, meski telah berulang kali manusia memberi fatwa kepadamu."
(Hadis riwayat Imam Ahmad)
Tiada gunanya segala apa yang diperkatakan andainya hati kita tertutup daripada kebenaran. Bersihkanlah hati kita, sesungguhnya itulah anggota yang paling berharga. Disebabkan kerosakan hati itulah berlakunya kerosakan-kerosakan yang lain. Rajin-rajinkanlah membersihkan hati.
Glosari
1. Ar-rijal: Lelaki, pemuda.
2. Husnul khatimah: Pengakhiran yang baik.
link asal