Sabtu, 1 Oktober 2011

Sabarlah..Allah Sedang Mengujimu


Langit tinggi yang tadinya cerah bertukar gelap. Sekelip mata sahaja. Sekumpulan awan tebal kelihatan berarak di atas bumbung-bumbung biru universiti. Mentari yang hampir berlabuh di ufuk barat sudah tidak kelihatan. Habis sinarnya dihalang awan hitam. Sejurus kemudian, ruang angkasa institut pengajian tinggi yang dikenali sebagai Taman Budi dan Ilmu itu bertambah gelap.
Ketika petang sudah hampir tiba di penghujungnya, kelihatan ada beberapa orang muslim dan muslimah sedang duduk-duduk di ruang solat. Ada juga yang sedang membaca al-Quran.
Masjid yang terletak di tengah-tengah institut ilmu itu memang bertuah. Sentiasa 'imarah. Tidak pernah tidak ada jemaah. Rumah ibadah yang menjadi pusat pertemuan warga institut itu seringkali dikunjungi orang sekalipun penuntut-penuntutnya pulang ke tanah air masing-masing.
Perkongsian dalam pertemuan.
"Liz, ada musykilah?"
Liz mengangguk. Pelajar perempuan yang baru setahun jagung menjadi warga universiti itu tidak pernah segan mengaku ada masalah. Dia sangat terbuka. Tidak pernah berselindung.
"Masalah apa?" Saya bertanya dengan nada bersahaja. Mengajak dia untuk berkongsi.
"Kak, saya sedih. Saya sedih sebab setiap kali bersolat malam atau muhasabah, saya rasa susah nak menangis." Pelajar perempuan itu mula menyatakan masalah jiwanya.
"Kadang-kadang tu, saya sampai dah tak tahu nak buat apa lagi supaya menangis." Pelajar itu menyambung. Suaranya terketar-ketar.
"Ingatlah mati." Saya mencelah perlahan.

"Sudah. Tapi, tetap tak mampu menangis. Pernah saya minta daripada Allah ..." Bicaranya terhenti. Matanya mula berkaca-kaca. Dia diam. Menahan air mata daripada mengalir.
"Pernah saya berdoa, Ya Allah, kalau Engkau memang sudah tidak mengizinkan aku menjadi hamba yang baik, Engkau matikan sahaja aku."
'Astaghfirullah!' Spontan saya beristighfar di dalam hati. Pelajar ini kelihatan seperti sudah tidak tahan memiliki hati yang sudah tidak mampu mengalirkan air mata keinsafan. Semoga Allah masih memegang hatinya.
"Apa gunanya hidup kalau diri tak menjadi hamba yang baik untuk Allah," Pelajar itu menyambung dengan nada yang terputus-putus. Sejurus kemudian, mulutnya terpaku. Tiada lagi bunyi yang keluar dari peti suaranya. Lama dia membisu. Air mata mudanya kelihatan tumpah ke pipi.
Saya merenung ke permaidani merah yang menutupi lantai marmar masjid. Bermuhasabah sambil menyusun kata. Saya terus merenung, sedang adik perempuan tadi setia menunggu ungkapan saya.
Mohon diberi petanda arah menuju ke jalan keluar. Seketika kemudian, saya melihat wajahnya yang sayu. Matanya merah. Pipinya basah. Uraian air mata yang berterjunan di pipi diseka. Dia tunduk. Malu. Malu dengan diri sendiri.
"Liz, Allah itu Maha Pengasih, Maha Penyayang. Beruntunglah Liz kerana masih mampu menangis di sini, sekalipun tidak mampu menangis selepas solat." Sengaja saya berkata sedemikian. Mahu menyedarkan dia bahawa dirinya masih mempunyai hati. Hati yang masih mampu menangis apabila disentuh.
"Duduk dan bermuhasabahlah lagi. Mungkin jiwa kita belum cukup ikhlas untuk memohon keampunan. Mungkin hati kita tidak benar-benar ikhlas memohon taubat. Siapa tahu, dalam kita bersabar meminta ampun dan taubat, Allah mengizinkan hati kita untuk menangis." Saya memberi pandangan.
"Liz, Allah tidak mematikan Liz sekarang kerana Allah masih sayangkan Liz. Liz masih ada ruang. Liz masih ada peluang. Berdoa meminta agar dimatikan segera itu salah. Salah besar!" tegas saya.
Air matanya yang deras mengalir sebentar tadi berhenti. Terjaga dari lena sangkaan yang salah.
"Allah meminta kita berusaha, bukannya mengalah. Jangan meminta diri dimatikan hanya kerana tidak mampu menangis apabila mengenang dosa. Jangan meminta dimatikan sedangkan diri tidak dalam keimanan."
"Rugi besarlah kita andainya di akhirat kelak, antara kita dengan syurga jaraknya tinggal sehasta, tapi takdir telah mendahului dan kita dicampakkan ke neraka. Kenapa?" Saya meninggalkan persoalan di hujung peringatan yang panjang-lebar. Semua mata yang hadir dalam pertemuan petang itu tertumpu ke arah saya.
"Sebab, kita tidak mengakhiri kehidupan dengan kebaikan. Sia-sia sahaja kita beramal sepanjang hidup, tapi di akhir kehidupan kita tidak berada dalam keimanan. Na'uzu billahi."
Pelajar perempuan itu mengangguk-angguk. Dia kelihatan yakin untuk meneruskan kehidupan. Kini, dia sedar bahawa sangkaannya agar lebih baik mati adalah salah.
'Ya Allah, ampunkanlah dosa adik ini. Ampunkanlah dosa semua manusia yang berada dalam pertemuan ini.' Saya berdoa di dalam hati, sendirian.
Allah, sungguh aku berpandangan bahawa mereka lebih baik daripadaku!' Semoga Allah menghimpunkan kami dalam rahmat dan berkat. Amin, Ya Rabbal 'Alamin.
Pesanan Kekasih Agung :
Daripada Abu Abdul Rahman Abdullah ibn Mas'uud r.a. beliau berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda, dan baginda adalah seorang yang benar lagi dibenarkan: "Sesungguhnya setiap orang di kalangan kamu dihimpunkan kejadiannya dalam perut ibunya selama 40 hari berupa air mani, kemudian menjadi segumpal darah selama tempoh yang sama, kemudian menjadi seketul daging selama tempoh yang sama, kemudian dikirimkan kepadanya seorang malaikat lalu dia menghembuskan padanya roh dan dia diperintahkan dengan empat kalimat; iaitu supaya menulis rezekinya, ajalnya, amalannya dan adakah dia celaka atau bahagia. Demi Allah Yang tiada Tuhan melainkan-Nya, sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli syurga, sehingga jarak antaranya dan syurga tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli neraka lalu dia memasuki neraka. Dan sesungguhnya salah seorang dari kalangan kamu akan beramal dengan amalan ahli neraka, sehingga jarak antaranya dengan neraka tidak lebih dari sehasta, lalu dia didahului oleh ketentuan tulisan kitab lantas dia mengerjakan amalan ahli syurga lalu dia memasuki syurga." (HR al-Bukhari; 3036 dan Muslim; 2643)
Saya menulis babak muhasabah ini di sini dengan harapan yang sederhana. Sangat sederhana. Semoga kita lebih mengingati-Nya setelah banyak dosa yang kita lakukan.
Saya menulis babak muhasabah ini di sini bukan kerana sudah mampu mengingati-Nya dengan sempurna, tetapi kerana berharap agar catatan sederhana ini terhitung sebagai langkah untuk saya mendekati-Nya. Sungguh, saya sangat terkesan dengan luahannya.

Glosari

1) 'Imarah=Meriah/Makmur/Gemilang. 2)Musykilah= Istilah Arab iaitu masalah

credit to iluvislam.com [link]